
KETUA Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, polis sudah menerima empat laporan daripada ibu bapa kepada murid yang mendakwa anak mereka dikasari ketika menghadiri kem motivasi di Serdang, Selangor baru-baru ini.
Laporan tersebut difahamkan diterima pada Selasa lalu apabila murid dikenakan tindakan fizikal seperti disembur dengan air di tengah padang sekolah dengan hanya berseluar dalam, dihukum melakukan ketuk ketampi hanya kerana berbual serta dipukul dengan penyapu.
"Semua pihak termasuk penganjur kem motivasi akan dipanggil bagi membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan setakat ini tiada tangkapan dibuat.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan kira-kira 60 murid Tahun Lima yang menghadiri kem dua hari dikendalikan sebuah badan bukan kerajaan, pulang ke rumah dalam keadaan lemah dan menangis selepas menyertai kem motivasi tersebut.
Peserta kem itu turut mendakwa fasilitator berkenaan turut melakukan kekasaran dengan mencekik dan menolak ke dinding serta dipukul dengan penyapu. —Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram