[VIDEO] Tengku Zafrul tepis dakwaan ke Qatar tonton Piala Dunia, sebaliknya ke UAE atas urusan rasmi


  • Primer
  • Selasa, 06 Dis 2022

Tengku Zafrul memuat naik video penjelasan mengenai ketidakhadirannya semasa mesyuarat Kabinet pertama pada Isnin.

TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyangkal dakwaan beliau tidak menghadiri mesyuarat Kabinet pertama kerana berada di Doha, Qatar untuk menonton Piala Dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, bahawa dakwaan itu adalah fitnah.

Jelasnya, dia sebenarnya berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu untuk menyaksikan perjanjian antara PETRONAS Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

“Bila saya pergi ke Qatar untuk menonton Piala Dunia? Saya berada di Abu Dhabi, sebagai salah seorang wakil Malaysia pada perjanjian antara PETRONAS dan ADNOC.

"Saya merayu kepada Twitterjaya untuk tidak terpengaruh dengan berita palsu," katanya pada ciapan di laman Twitter pada Selasa.

Tengku Zafrul memuat naik video penjelasan mengenai perjanjian bersejarah itu dan ketidakhadirannya semasa mesyuarat Kabinet pertama pada Isnin.

“Saya baru sahaja mengangkat sumpah (sebagai Senator), dan fitnah dan berita palsu mengenai saya ponteng mesyuarat Kabinet untuk menonton Piala Dunia.

“Pertama sekali, Piala Dunia diadakan di Doha, Qatar semasa saya di Abu Dhabi. Kedua, saya berada di sana atas urusan rasmi, bukan untuk beriadah. Tak dapat hadir Mesyuarat Jemaah Menteri bukan macam ponteng kelas. Rasa tak nak pergi, tak pergi.

“Mana-mana menteri yang ingin ke luar negara mesti mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri tidak meluluskan, anda tidak boleh pergi,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, selepas angkat sumpah menteri pada Sabtu lalu beliau terus ke Ibu Peiabat MITI untuk memaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian mengenai misi perdagangan ke Abu Dhabi itu.

Mengenai perjanjian itu, beliau berkata, ia merupakan perjanjian penting bagi sektor minyak dan gas kerana ia melibatkan pelaburan kedua-dua negara untuk tempoh 30 tahun.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hadir menyaksikan perjanjian yang dimeterai bersama Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Menteri Industri dan Teknologi Lanjutan UAE Dr Sultan Ahmed Al Jaber.

“Penglibatan itu melibatkan penerokaan dan penilaian kawasan konsesi sepanjang 2,000 kilometer di wilayah Al Dhafra. Kami semua amat berbangga dengan kejayaan PETRONAS.

“Ia boleh mempelbagaikan sumber PETRONAS dan mengukuhkan status mereka sebagai salah satu syarikat tenaga terkemuka di dunia sambil memberikan kesan limpahan positif kepada ekonomi Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

Beliau mengakhirinya videonya dengan mengatakan bahawa sekembalinya ke negara, taklimat mengenai perjanjian dan perkara lain akan dibentangkan kepada Kabinet pada Rabu.

Sebelum ini, timbul khabar angin mengenai ketidakhadiran Tengku Zafrul dalam mesyuarat Kabinet kerajaan perpaduan yang pertama, menyebabkan orang ramai percaya bahawa beliau berada di Timur Tengah untuk menonton Piala Dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram