HUJAN lebat yang melanda Klang, Shah Alam, Puchong dan Kajang sejak tengah malam Khamis menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan tanah runtuh.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam, antara kawasan yang terkesan yang dinaiki air Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda, Taman Sentosa, Taman Chi Liung, Teluk Pulai dan Taman Maznah di Klang, selain Kampung Sri Aman dan Putra Height Harmoni 1 di Puchong.
“Kami juga mengesan air naik di Taman Pasir Mas, Jalan Seroja, Jalan Reko dan Taman Teknologi Kajang di Kajang, Bukit Lanchang, Taman Sri Muda dan Jalan Kebun di Shah Alam serta Kampung Sungai Pening dan Sungai Lalang di Semenyih,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Norazam berkata, pusat operasi negeri turut menerima beberapa panggilan mengenai banjir pada pukul 12.26 pagi.
“Seramai 130 pegawai dan anggota serta 20 bot, empat lori, 10 utiliti dan lapan jentera bomba dikerahkan ke kawasan banjir dan tanah runtuh,” katanya.
"Setakat pukul 5.30 pagi, lebih 44 mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) berikutan paras air yang semakin meningkat di kawasan perumahan mereka.
“Tiga PP dibuka di Masjid Kampung, Johan Setia, Bandar Bukit Tinggi 2 dan SK Ulu Semenyih. Antara kawasan yang paling teruk terjejas ialah Bangi dan Kajang.
"Anggota kami terpaksa memindahkan 32 mangsa banjir pada 4.12 pagi di Taman Seri Andalas dan Kota Raja, lapan orang terpaksa dipindahkan manakala di Kajang tiga dipindahkan dan seorang lagi dipindahkan di Semenyih," tambahnya lagi.
Norazam berkata, Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda, Klang merupakan kawasan dengan paras air paling dalam iaitu 0.6 meter manakala Taman Sri Muda, Jalan Kebun dan Kampung Bukit Lanchong pula merekodkan paras air 0.3 meter.
"Selain mangsa banjir, kita turut fokus membantu warga emas dan OKU. Operasi masih diteruskan setakat pukul 4 pagi. Kita juga mengesan paras air mula surut di beberapa lokasi selepas hujan lebat mula reda," katanya.
Norazam berkata anggota bomba turut membantu menyelamatkan empat mangsa daripada kejadian tanah runtuh yang berlaku di belakang sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Sri Jelok, Kajang.
"Tiada mangsa yang cedera semasa kejadian itu," katanya.
Amirudin (dua dari kanan) melakukan tinjauan di Taman Melawis, Klang pada awal pagi Khamis.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, melakukan tinjaun di kawasan yang terkesan akibat banjir di Klang pada pukul 2.45 pagi Khamis.
"Saya telah memberi arahan kepada semua agensi kerajaan berkaitan untuk menggerakkan petugas dan jentera ke kawasan terlibat Shah Alam, KLang and Puchong," katanya
Pada masa sama, Amirudin turut pergi ke Rumah Pam 38 di Jalan Tepi Sungai di Klang untuk meninjau dan melihat tahap banjir kilat.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram