Polis buru banduan berbahaya disyaki bersembunyi di Semporna


  • 112
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Polis memperketatkan pengawasan sempadan dan meningkatkan amaran untuk mengesan Alzanar. — Gambar hiasan

POLIS memburu seorang banduan yang melarikan diri dari Filipina dan didakwa memasuki daerah Semporna, Sabah baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, berdasarkan sumber risikan, banduan dikenali sebagai Alnazar Jalilul itu dipenjarakan atas kesalahan membunuh dan dikatakan melarikan diri dari Penjara Tawi-Tawi pada 26 September lalu.

Selepas operasi mencari selama beberapa minggu, pihak berkuasa Filipina mengesan Alnazar bersama seorang pengedar dadah rentas sempadan, Haibin Mubin, di Sitangkai, Filipina awal Oktober.

Difahamkan, serbuan dilakukan untuk menangkap kedua-dua penjenayah terbabit.

Idris berkata, berdasarkan makluman, Haibin, yang ada dalam senarai individu dikehendaki pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) akhirnya ditembak mati dalam serbuan pada 16 Oktober lepas.

Alnazar dipercayai bertindak melarikan diri ke perairan Semporna dengan menggunakan bot laju susulan kematian Haibin.

Dikhabarkan Alzanar mempunyai kawan dan saudara-mara di Semporna dan bercadang untuk mendapatkan perlindungan daripada mereka.

"Kami mendapat maklumat mengenai dakwaan Alzanar melarikan diri ke Sabah pada 27 Oktober dan segera melancarkan operasi untuk membuat pemeriksaan," kata Idris ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis memperketatkan pengawasan sempadan dan meningkatkan amaran untuk mengesan Alzanar.

“Bagaimanapun, tiada pengesahan sama ada banduan itu benar-benar masuk dan bersembunyi di Semporna seperti yang disyaki setakat ini,” katanya.

Idris berkata, mereka bekerjasama untuk menyiasat kes tersebut dengan lebih lanjut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram