Bayi 12 bulan lemas nahas bot karam di Kota Belud


  • 112
  • Ahad, 09 Okt 2022

Pasukan bomba melakukan operasi membabitkan mangsa bot karam di perairan Kampung Rampaian Laut, Kota Belud. — Sinar Harian

NASIB malang menimpa sekumpulan penumpang bot selepas bot itu karam dalam kejadian di perairan Kampung Rampaian Laut di Kota Belud, Sabah pada Ahad.

Dalam kejadian pukul 1.05 petang itu, seorang bayi lelaki lemas, manakala sembilan lagi terselamat.

Mangsa, Muhammad Hayrul Sufyan Fian yang berusia 12 bulan ditemui penduduk kampung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.22 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 21 kilometer dari BBP Kota Belud.

"Menurut laporan terdapat empat lelaki dan tiga wanita dewasa bersama tiga kanak-kanak dalam perjalanan dari Pulau Mantanani ke Kampung Rampaian Laut.

"Mereka difahamkan ke Pulau Mantanani untuk melawat keluarga dan ketika dalam perjalanan pulang bot itu karam," katanya pada Ahad.

Muhammad Syazwan berkata, ketika kejadian terdapat sebuah bot penumpang di lokasi kejadian yang bertindak menyelamatkan mangsa.

"Sembilan mangsa berjaya menyelamatkan diri, bagaimanapun seorang bayi lelaki ditemui penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Tambah Muhammad Syazwan, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada 4.15 petang. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram