Pelanggan H&M bakal dikenakan caj pemulang barangan


  • Bizz
  • Jumaat, 30 Sep 2022

H&M dilaporkan dalam proses persiapan untuk menguji caj pemulangan barangan di beberapa pasaran. — Agensi

JENAMA Fesyen Global, H&M bakal mengenakan caj pembayaran bagi setiap pemulangan barangan yang dibeli pelanggan secara online.

Bagaimanapun, tiada caj dikenakan jika pelanggan memulangkan produk yang dibeli di kedai.

Kaedah itu antara beberapa strategi pengurusan kos lebih cekap. Selain pengurusan kos, cadangan caj itu juga adalah bertujuan mengawal inventori syarikat yang kini berlebihan susulan permintaan yang lemah ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif H&M, Helena Helmersson berkata, H&M kini dilaporkan dalam proses persiapan untuk menguji caj pemulangan barangan di beberapa pasaran.

“Semuanya bergantung kepada bagaimana ia diterima oleh pelanggan. Jadi itulah sebabnya kami melakukan ujian untuk melihat sama ada ia merupakan langkah yang perlu.

"Jika kami melancarkannya, ia akan mengambil sedikit masa, kami tidak mempunyai tempoh masa yang tepat mengenai pelaksanaannya.

"Tetapi kami akan melihat menerusi penilaian ujian, sama ada ini adalah perkara yang paling berkesan untuk dilakukan atau tidak,” jelasnya.

Dalam ulasan yang dihantar melalui e-mel kepada CNN Business, caj tersebut bagaimanapun hanya melibatkan pembelian secara dalam talian. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram