Lori hilang kawalan, pemandu nekad lompat keluar


  • 112
  • Rabu, 21 Sep 2022

Tangkap layar keadaan lori yang merempuh tembok konkrit di persimpangan lampu isyarat Persiaran Sultan Hishamudin pada Selasa.

DEMI menyelamatkan nyawa, seorang pemandu nekad melompat keluar dari lori dipandunya selepas kenderaan terbabit hilang kawalan sebelum merempuh tembok konkrit di persimpangan lampu isyarat Persiaran Sultan Hishamudin di Klang, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun kira-kira pukul 6.44 petang Selasa.

"Hasil siasatan awal dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang yang mana pemandu lori berkenaan hilang kawalan kerana mengalami masalah brek.

"Pemandu lori cuba untuk mengawal kenderaan dengan meluruskan stereng ke arah tembok konkrit untuk memberhentikan kenderaan dan telah melompat keluar dari lori bagi menyelamatkan diri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Vijaya menjelaskan, pemandu terbabit mengalami kecederaan luka di kaki, belakang badan dan bengkak di bahagian lutut kanan akibat terjun dari lori terbabit.

"Ujian urin terhadap lelaki terbabit didapati negatif," ujarnya.

Tambahnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Siasatan masih diteruskan untuk mengetahui punca kejadian," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pemandu, lori, lompat, klang, kemalangan, rempuh, tembok