Tumbuk muka sebelum toreh bekas suami, suri rumah di Ayer Keroh mengaku tak bersalah


Norhayati (dua dari kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, pada Rabu.

SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Rabu atas pertuduhan memukul dan mencederakan bekas suaminya dengan menoreh belakang mangsa menggunakan pisau.

Tertuduh, Norhayati Serurahman, 33, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Izwan Mohamed Noh.

Berdasarkan pertuduhan, Norhayati didakwa mencederakan bekas suaminya, Mohamad Sabri Hussin, 33 dengan cara menoreh belakang badan mangsa dengan pisau selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah bernombor 37-4 Kampung Tambak Sebelong, Kandang pada pukul 2.45 pagi, Mei tahun lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 322/326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,000 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Norhayati bertengkar sebelum menumbuk muka dan menoreh belakang badan bekas suaminya dengan pisau hingga cedera.

Dia juga dipercayai mengancam untuk membunuh Mohamad Sabri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri manakala tertuduh tidak diwakli peguam.

Mahkamah membenarkan Norhayati diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin. Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram