Pembalakan bukan punca utama banjir, tapi perubahan iklim — Pakar


  • Massa
  • Rabu, 07 Sep 2022

Perubahan monsun La Nina merupakan faktor utama kejadian banjir di kebanyakan lokasi di Malaysia ketika ini. — Gambar hiasan/Facebook

PEMBALAKAN mahupun pembukaan tanah bukan faktor utama berlakunya kejadian banjir di kawasan lembah.

Sebaliknya, tegas pakar, perkara tersebut terjadi disebabkan pengaruh iklim dan kekuatan tiupan angin yang membawa awan mengandungi air kemudian berlakunya hujan lebat.

Menurut Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah, kejadian banjir bergantung kepada beberapa faktor dan kebanyakannya terjadi di beberapa tempat seperti kawasan negeri Pantai Timur.

Katanya, hujan sering berlaku di bahagian persisiran pantai sebelum pergerakan angin kencang yang membawa awan hujan ke kawasan pendalaman sehingga menghampiri Banjaran Titiwangsa.

"Apabila kejadian hujan berlaku di dataran, kesannya tidak terlalu teruk kerana jumlah air akan merebak ke kawasan berhampiran. Namun sekiranya jatuh di kawasan lembah, kandungan air akan menjadi lebih jauh.

"Perkara itu turut dipengaruhi oleh keadaan cerun yang mempunyai daya tarikan graviti tinggi mengakibatkan larian air menjadi lebih deras. Kuasa tinggi di lembah merupakan daya tenaga semula jadi yang mengakibatkan pergerakan air," katanya kepada Majoriti.

Vital crossover: Some of the residents of Kampung Iboi in Baling, Kedah, using the newly constructed bridge, which brings a big relief during the Hari Raya Aidiladha celebration. — Bernama

Penduduk kampung menyeberangi jambatan di Kampung Iboi, Baling, Kedah. — Bernama

Tumbuhan tetap menjadi benteng pertahanan

Beliau memberi reaksi berkenaan selepas ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai semua negeri di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak bakal berdepan dengan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang lebih kerap diramalkan bakal berlanjutan sehingga Februari 2023.

Perkara itu turut melibatkan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Iboi, Baling, Kedah sehingga mengakibatkan 130 mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

azizan samah

Azizan Abu Samah — Sinar Harian

Meskipun menyifatkan pembukaan tanah bukan faktor utama berlakunya banjir, namun Azizan menjelaskan situasi tersebut antara penyumbang 20 hingga 30 peratus kadar kelajuan larian air.

"Kewujudan tumbuhan dapat membantu penyerapan air dengan baik dan membantu menghalang berlakunya kejadian tanah runtuh. Kekuatan akar pokok banyak memain peranan bagi menghalang larian air. Kawasan Banjaran Titiwangsa menjadi antara lokasi kuasa air kuat.

"Kekerapan berlakunya taburan hujan sekarang secara tidak langsung banyak dipengaruhi oleh fenomena La Nina. Ini terjadi apabila suhu paras laut di Sumatera panas," jelasnya.

banjir 1

Ketinggian paras air ketika berlaku banjir besar di Kuala Krai, Kelantan pada 2014 lalu. — Bernama

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kejadian sama yang pernah berlaku di Kuala Krai, Kelantan pada 2014 lalu berulang semula dan meminta agar penduduk setempat mengambil sikap berjaga-jaga.

"Melihat kepada keadaan, kebarangkalian itu ada namun saya bukan Tuhan yang menentukan segalanya. Semua ini berdasarkan fakta dan maklumat diterima sahaja.

"Jika dilihat setiap tahun boleh dikatakan kawasan di negeri Pantai Timur sering dilanda banjir dan mereka seakan sudah biasa dan dikatakan mahir mengatasi situasi tersebut.

"Tetapi kita bercakap soal nyawa dan saya mengharapkan agar penduduk setempat dan pegawai pentadbiran daerah saling bekerjasama terutama ketika berdepan dengan banjir.

"Penduduk perlu peka dengan perubahan paras sungai lebih-lebih lagi setelah 24, 48 atau 72 jam hujan tanpa henti," terangnya.

Untuk rekod, pada 2014, Kelantan menjadi negeri paling teruk terjejas berikutan banjir besar yang menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan selain kemusnahan harta benda dan tempat tinggal.

Jajahan Kota Bharu mencatatkan angka tertinggi banjir iaitu di Tumpat, Pasir Mas, Kuala Krai, Gua Musang, Machang,Tanah Merah dan Pasir Puteh termasuk dipercayai lebih 200,000 mangsa terjejas manakala dianggarkan 21 individu meninggal dunia ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram