SEORANG penganggur yang membunuh wanita warga emas berusia 85 tahun selepas merogol dan meliwatnya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas K. Satiaraj, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, tertuduh mempunyai niat mendatangkan kecederaan terhadap si mati dan melakukan perbuatan itu dalam keadaan sedar.
"Berdasarkan keterangan-keterangan, tertuduh tidak mengalami kesukaran dalam mengingati dan menceritakan apa yang berlaku. Tertuduh masuk ke rumah si mati untuk mencuri selain tertuduh mengetahui perbuatan menutup mulut dan mengikat tangan si mati supaya wanita itu tidak boleh menjerit.
"Tertuduh juga mengetahui tujuan dia mengikat tangan si mati supaya tidak dapat membuka kain yang disumbat di mulut si mati,” katanya dan menambah tertuduh sebelum ini turut mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat si mati.
Ab Karim berkata, perbuatan tertuduh menyelongkar almari bagi mencari sesuatu untuk dicuri dan kemudian mencuri rantai emas selepas merogol dan meliwat si mati, jelas menunjukkan tertuduh dalam keadaan sedar.
"Sebaik keluar dari rumah si mati, tertuduh secara sedar meminta bantuan daripada rakannya (N. Hari Krishnan, saksi pendakwaan kelapan (SP8) untuk menggadaikan rantai tersebut kerana tertuduh tidak mempunyai kad pengenalan.
"Selain itu, tidak ada dalam keterangan SP8 yang menunjukkan tertuduh dalam keadaan mabuk. Tertuduh juga tidak mempunyai apa-apa bukti yang menunjukkan ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk, kesemua menunjukkan bahawa perbuataan tertuduh dalam keadaan normal,” katanya.
Sathiaraj didakwa membunuh wanita itu di sebuah rumah di Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Selangor antara pukul 11.40 pagi hingga 1 tengah hari, 19 September 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sebelum ini, tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat warga emas itu dihukum penjara 13 tahun dengan lima sebatan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan kedua-dua tangannya diikat. Mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap oleh anak keduanya yang pulang daripada bekerja. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram