'Isteri-isteri saya tiada nama Zainab,' Abd Latiff sindir Rafizi guna pantun pedas


  • Politik
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Abd Latiff menegaskan tiada ahli keluarganya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad sekali lagi menegaskan isteri-isterinya tiada yang bernama Zainab Mohd Salleh seperti yang dikaitkan dengan isu projek kapal tempur pesisir (LCS).

Abd Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing pada masa sama menegaskan, tiada ahli keluarganya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal LCS.

"Isteri atau isteri-isteri saya tiada yang bernama Zainab Mohd Salleh," tulisnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.

Menerusi hantaran itu juga beliau turut meninggalkan pantun sinis terhadap pihak yang mengaitkan keluarganya di dalam projek tersebut.

"Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)...Saya suka makan ikan...tapi bukan ikan jerung.

"Siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama jadi pencuri,

"Siakap senohong gelama ikan jerung, cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung," tulisnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd Latiff. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram