Bukan peragut, lelaki diikat rupanya ganggu remaja perempuan di Gombak


  • 112
  • Khamis, 18 Ogos 2022

Rakaman tular menunjukkan seorang lelaki diikat dan dikerumuni orang ramai dalam kejadian di Gombak baru-baru ini. — Facebook

SEORANG lelaki yang diikat tangannya dalam satu rakaman tular baru-baru ini bukan peragut seperti didakwa sebaliknya mengganggu remaja perempuan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, abang gadis berkenaan bertindak mengikat lelaki berusia 21 tahun itu selepas tidak berpuas hati suspek mengganggu adiknya.

Menurutnya, bapa kepada remaja perempuan bagaimanapun tidak mahu membuat laporan polis susulan kejadian itu kerana mengenali suspek dan keluarga pelaku.

"Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan salah faham tersebut secara baik," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas video tular berdurasi 13 saat memaparkan lelaki itu sedang duduk dan tangan diikat ke belakang di tepi sebuah kereta peronda polis dalam kejadian di Gombak, Selangor pada Isnin.

Beliau menafikan dakwaan video yang tular itu adalah kes peragut ditangkap.

"Pihak polis juga tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kes ragut di kawasan berkenaan pada masa itu.

"Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, " katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram