SEORANG warga emas yang dilaporkan hilang pada Rabu (10 Ogos) di daerah Tawau, Sabah ditemui selamat pada Khamis (11 Ogos).
Lelaki itu, Masri Bachi, 60, sebenarnya memutuskan untuk bermalam di hutan Bukit Kukusan berhampiran rumahnya kerana terlalu letih mahu berjalan lebih jauh selepas seharian bekerja mengumpul sayur-sayuran liar dan makanan lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John berkata, lelaki itu ditemui selamat kira-kira pukul 9 pagi, Khamis ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian mangsa.
“Apabila ditanya, Masri memberitahu kami bahawa dia memutuskan untuk berehat di dalam hutan dan meneruskan perjalanan pulang ke rumah keesokan hari kerana terlalu letih untuk berjalan lebih jauh.
"Dua pasukan bomba bersama penduduk kampung mencari lelaki itu. Dia ditemui kira-kira 200 meter dari pusat operasi yang disediakan untuk mencari dan menyelamat," tambahnya.
Masri ditemui dalam keadaan selamat dan tidak cedera. Dia dilaporkan hilang selepas gagal pulang ke rumah pada hari Rabu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram