Lebam mata kanan dihentak warga asing dengan sepana depan pusat hiburan di JB


  • 112
  • Selasa, 02 Ogos 2022

Seorang lelaki warga tempatan cedera dalam pergaduhan melibatkan tiga warga asing di tepi jalan sebuah depan pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru, baru-baru ini. — Sinar Harian

SALAH faham menjadi punca seorang lelaki cedera dipukul menggunakan sepana dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Austin di Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan bersabit video berdurasi 13 saat berkenaan kejadian itu yang tular dalam media sosial.

"Kejadian itu berlaku di tepi jalan berdepan pusat hiburan tersebut. Hasil siasatan mendapati pengadu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun telah dipukul menggunakan sepana oleh seorang lelaki warga asing anggaran umur 20 hingga 30 tahun.

"Mangsa tidak mengenali suspek berkenaan. Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami luka di bahagian hidung dan lebam pada mata kanan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada salah faham semasa mereka berhibur di pusat hiburan tersebut.

Beliau berkata, suspek datang bersama-sama dua lagi rakannya dengan menaiki kenderaan dengan nombor pendaftaran luar negara.

Justeru, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang mengesan tiga suspek warga asing tersebut untuk membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah 324 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram