KEADAAN Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 4, yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) akibat jangkitan kuman bertambah baik berbanding Isnin, namun masih kritikal.
Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak memaklumkan, keadaan anak perempuannya itu masih perlu diawasi sekumpulan doktor dan jururawat bagi mengelak keadaan berubah menjadi sebaliknya.
"Update Ainul terkini selepas berjumpa dengan doktor yang merawatnya, apa yang saya boleh simpulkan, Ainul lebih baik sedikit dari semalam tapi masih dalam keadaan kritikal.
"Doktor dan pasukan masih perlu berjaga-jaga dan bersedia jika serangan bertambah buruk (nauzubillahiminzalik).
"Untuk masa sekarang, usaha doktor dan pasukan yang merawatnya dapat menurunkan beberapa bacaan yang kritikal semalam. Alhamdulillah syukur. Terima kasih doktor dan jururawat," katanya di laman Facebooknya pada Selasa.
Dalam pada itu, Ahmad Safiuddin turut memaklumkan Ainul Mardiah masih direhatkan dan masih memerlukan bantuan ventilator serta masih menerima rawatan di unit jagaan rapi.
"Terima kasih tak terhingga buat semua yang sentiasa mendoakan. Kami sekeluarga sangat menghargainya.
"Tadi nampak Ainul buka mata sekejap. Ainul ni kuat betul. Dalam keadaan separa sedar, dia masih ada tenaga melawan. Ainul memang seorang 'fighter'. Semangat juangnya tinggi.
"Walau apa pun yang berlaku, semua dengan izin-Nya. Doakan ya supaya Ainul dapat keluar dari zon kritikal dan sembuh dari jangkitan ini tanpa ada sebarang komplikasi. Amin," katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Ahmad Safiuddin turut mengingatkan orang ramai berwaspada dengan 'scammer' yang mengambil kesempatan dengan keadaan anaknya ketika ini.
Menurutnya, orang ramai supaya diminta berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama anaknya.
"Hati hati dengan scammer yang guna nama anak saya Ainul Mardhiah untuk kutipan derma. Kami cuma minta doa, kami tak perlukan duit.
"Semoga ALLAH SWT cukupkan rezeki kita semua," katanya.
Pada Isnin, media melaporkan Ainul Mardhiah sedang ditidurkan selepas dipercayai mendapat jangkitan kuman sejak Jumaat lalu.
Dalam kenyataan Ahmad Safiuddin di laman sosialnya itu pada Isnin, tanda-tanda awal yang ditunjukkan anaknya itu hanyalah batuk biasa dan kemudian dirujuk ke fasiliti kesihatan pada Ahad.
Menurutnya, Ainul Mardhiah kini sedang menggunakan bantuan ventilator memandangkan doktor mengesahkan, virus sudah merebak hampir ke semua anggota, namun tidak mendedahkan lokasi anaknya itu dirawat.
"Ainul dapat jangkitan kuman dan kemungkinan ada sekali virus. Serangan kali ni agak kuat dan cepat. Serangan di tahap kritikal," katanya dalam kenyataan itu pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram