
SEBANYAK 2,363 kes denggi direkodkan antara 17 hingga 23 Julai di kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Tujuh titik panas (hotspot) dikenal pasti iaitu flat SS19/6, USJ 16 Sri Tanjung, USJ3/1, USJ3/4, Taman Sri Puchong, Taman Saujana Puchong dan Flat Bandar Bukit Puchong, Selangor.
Datuk Bandar MBSJ, Johary Anuar berkata, daerah Petaling mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan kawasan di bawah jagaan MBSJ adalah antara yang paling padat penduduk di negara ini.
"Kami mempunyai hampir satu juta penduduk di daerah Petaling, jadi kami mempunyai kira-kira 5,500 orang tinggal dalam satu kilometer persegi.
"Jumlah kes mungkin kelihatan tinggi tetapi apabila kita lihat dari segi nisbah kes kepada penduduk, kita tiada masalah," katanya pada mesyuarat lembaga penuh MBSJ pada Rabu.
Beliau menambah bahawa kerajaan Selangor memperuntukkan RM416,000 kepada MBSJ untuk menghapuskan ancaman denggi.
Johary berkata, RM300,000 adalah untuk pembelian bahan fogging, peralatan dan bahan kimia untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.
"Kerajaan negeri juga memberi RM96,000 bagi setiap zon di MBSJ jadi setiap ahli majlis akan mendapat RM4,000.
"Wang ini akan dibelanjakan untuk membeli aerosol, ubat nyamuk dan Abate yang akan diagihkan kemudian kepada penduduk bergantung kepada keperluan setiap kawasan.
"Baki RM20,000 yang diberikan oleh kerajaan negeri akan disalurkan ke kawasan hotspot denggi," jelasnya.
Pada 12 Jun lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memulakan kempen pembasmian denggi selama 10 minggu iaitu Gerak Gempur Vektor Selangor 2022 di semua kawasan majlis tempatan.
"Setiap hari, kami mempunyai pasukan di lapangan untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk," ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram