Pengasas Crackhouse Comedy Club tidak mengaku salah buat hantaran jelik


Mohamad Rizal Johan mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan hakim.

PENGASAS dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat (22 Julai) atas tiga pertuduhan menghantar komunikasi jelik melalui laman Facebook, Instagram dan Tiktok, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak.

Rizal yang berkemeja putih dan memakai seluar biru, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Pada 14 Julai lalu, polis menahan seorang lelaki disyaki pengasas bersama sebuah kelab komedi berhubung penularan dua klip video di premis berkenaan yang dikatakan menyentuh sensitiviti dan berbaur perkauman.

Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. — The Star

Menyusul...