Isteri, pejabat agama 'warning', awas suami gatal berpeluk sakan gadis seksi kedai buah


  • Tular
  • Isnin, 04 Jul 2022

JHEAT sedang menyiasat insiden dan akan melihat tindakan yang boleh diambil mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001. — Twitter

BARU-BARU ini tular di media sosial tentang dua lelaki dirakam memeluk seorang pelayan wanita dipercayai berlaku di sebuah restoran di Setiu, Terengganu sehingga mengundang pelbagai reaksi negatif orang ramai.

Menerusi perkongsian satu klip video di laman Twitter, @Aneppppp memaparkan dua pelanggan lelaki tanpa segan silu memeluk bahagian pinggang dan bahu wanita berkenaan sewaktu sedang bergambar.

Berdasarkan video berdurasi 31 saat itu, perbuatan lelaki itu merangkul pinggang pelayan wanita tersebut bagaimanapun tidak ditepis, seolah-olah merelakan perbuatan pelanggan lelaki berkenaan malah dia juga kelihatan gembira.

Difahamkan pelayan wanita terbabit seorang individu yang terkenal di sosial media kerana didakwa sering berpakaian tidak sopan sehingga menarik tumpuan golongan lelaki berhidung belang.

Pelayan wanita tersebut tidak menepis pinggangnya dirangkul, seperti merelakan perbuatan pelanggan itu. — Twitter

Menerusi ruangan komen, video tersebut meraih perhatian orang ramai di sosial media lebih-lebih lagi wanita-wanita yang sudah berumah tangga yang mana ada juga memberi amaran kepada suami mereka.

"Ini kalau suami aku yang pergi kedai makan ini memang tidur kuburlah jawabnya," kata Nuyrul Awien.

"Yang perempuan, cuba buka mata luas-luas dekat video itu mana tahu ada suami korang dekat sana," ujar Sofea Khadeeja.

"Boleh jamin yang bergambar dengan perempuan ini dah kahwin dan mungkin dah ada anak," jelas Alan Telles.

"Kalau lelaki aku ada dekat sana, memang mati dia aku kerjakan kalau dia balik rumah," tulis Athirah Izzwani.

Terbaharu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan sedang menyiasat insiden tersebut.

Menurut Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bin Bidin, pihaknya akan melihat tindakan yang boleh diambil mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Beliau dalam masa sama turut menjelaskan kedai berkenaan sudah lama berada dalam radar pemantauan pihaknya.

"Kedai makan ini memang dalam pemantauan kita sebelum ia tular lagi. Dakwaan mengatakan JHEAT tak beri perhatian adalah tidak betul sebab premis ini sedang dalam pemantauan.

"Kita tak akan biarkan benda-benda atau perkara yang tidak baik, perlakuan tak senonoh dan kita akan tengok mengikut bidang kuasa yang ada.

"Tiada kompromi dalam hal sebegini kerana ia bukan hanya mencemarkan agama Islam itu sendiri tetapi bertujuan membendung gejala atau kelakuan tidak bermoral dalam kalangan masyarakat," katanya. — Majoriti