Tersepit 30 minit, pemandu lori maut rempuh belakang treler beras


  • 112
  • Ahad, 03 Jul 2022

Anggota bomba mengeluarkan mayat tersepit di bahagian pemandu di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, pada Ahad. — Ihsan bomba

SEORANG lelaki maut manakala empat parah dalam kemalangan melibatkan lori membawa papan tanda arah dengan sebuah treler membawa muatan beras di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tanjung Malim-Lembah Beringin, Selangor awal pagi Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian berlaku kira-kira 1.12 pagi apabila lori yang dinaiki seorang pemandu membawa empat pekerja warga Pakistan itu dipercayai melanggar belakang treler tersebut.

"Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan dibantu BBP Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 1.45 pagi.

"Mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun tersepit di tempat duduk pemandu manakala empat mangsa lagi parah tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

WhatsApp Image 2022-07-03 at 8.44.39 AM

Anggota bomba sedang menjalankan kerja mengeluarkan mangsa tersepit dalam kejadian di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Ahad. — Ihsan bomba

Katanya, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit.

"Kesemua mangsa tersepit dikeluarkan dengan menggunakan alatan khas dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun dua mangsa lagi iaitu pemandu serta penumpang treler yang dilanggar hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Tambahnya, mangsa yang cedera mungkin tersepit antara 10 hingga 15 minit sebelum diselamatkan bomba.

"Anggaran mangsa yang maut tersepit pula kira-kira 30 minit dan hanya dikeluarkan selepas mendapat kebenaran polis," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram