Ambil serius kadar inflasi, kerajaan cari penyelesaian menerusi Bajet 2023


  • Bizz
  • Khamis, 23 Jun 2022

Intipati Bajet 2023 yang sedang dirangka akan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan.

KERAJAAN mengambil perhatian serius mengenai kadar inflasi negara dan berusaha mencari penyelesaian terbaik, termasuk merangka strategi baharu menerusi Bajet 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata, kadar inflasi di Malaysia tidak berada pada paras tinggi berbanding negara jiran dan terkawal berikutan perbelanjaan subsidi yang besar oleh kerajaan.

"Kerajaan tidak ambil itu sebagai satu keadaan yang selesa dan kita sentiasa melihat bagaimana ruang untuk kita bantu supaya ia memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat," katanya dalam program televisyen 'Malaysia Petang Ini' baru-baru ini.

Beliau berkata, intipati Bajet 2023 yang sedang dirangka akan memberi fokus kepada empat seksyen utama iaitu kesejahteraan rakyat, perniagaan, ekonomi dan kerajaan.

Mohd Shahar menegaskan bahawa, kerajaan sentiasa melihat secara holistik berhubung pendekatan sedia ada dari pelaksanaan cukai dan dasar dalam memperkasakan Bajet 2023.

"Melalui Bajet 2023, kita akan mengukuhkan proses pemulihan negara yang kini berada dalam fasa peralihan endemik dan memudah cara pembaharuan untuk memastikan kemampanan daya tahan ekonomi kita.

"Oleh itu, Kementerian Kewangan secara berterusan mengadakan sesi libat urus secara menyeluruh bersama rakyat untuk menerima pandangan dan maklum balas mereka dalam memastikan kepentingan rakyat diutamakan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram