Prosiding tangguh 5 minit, Timbalan Pendakwa Raya menangis lihat video menyayat hati Bella


Siti Bainun hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi prosiding kes menganiaya seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella pada Jumaat. — Sinar Harian 

DUA rakaman video yang tular mendakwa remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella ditemui dalam keadaan menyayat hati oleh rakan Pengasas Rumah Bonda, dimainkan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Rakaman tersebut disiarkan ketika saksi ke-10, Juruanalisa Unit Siasatan Audio Video Makmal, Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Mior Samsul Abd Rahman memberi keterangan dalam prosiding kes menganiaya Bella, membabitkan Siti Bainun Ahd Razali.

Selepas video itu dipaparkan, mahkamah menangguhkan prosiding selama lima minit bagi memberi ruang kepada Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas yang sebak selepas melihat video tersebut.

Ketika membaca pernyataan saksi, Mior Samsul berkata, beliau telah menerima permohonan analisis berkaitan kes tersebut dan mendapat barang kes iaitu sebuah telefon bimbit jenama Iphone bersama satu kad sim Maxis pada 22 Julai 2021.

Katanya, proses mengekstrak data dari telefon bimbit pula dijalankan pada 9 Ogos 2021 dengan menggunakan perisian XRY dan memperoleh dua video berdurasi 6.32 minit dan 0.41 minit.

Menurutnya, atas permohonan pegawai penyiasat, beliau telah menjelaskan gambar dari video bertarikh 24 Jun 2021, menggunakan kaedah 'zooming' dan menajamkan ia menerusi perisian ‘Video Investigator’.

“Pada 25 November 2021 saya terima permohonan analisa seunit DVD-R supaya menjelaskan dan pegunkan video itu.

“Ia adalah membabitkan tarikh 12 Februari 2021 yang menunjukkan Bella berada di dapur; 21 Mei 2021, Bella di dapur sambil makan berdiri dan 22 Mei 2021, sambutan hari raya yang menunjukkan kesan kecederaan di muka dan leher Bella,” katanya.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Prosiding di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 29 Jun ini. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram