Hampir RM2.94 juta dipindah ke akaun peribadi Najib


Kesemua transaksi melibatkan akaun Najib berakhir dengan nombor 694. — Sinar Harian

SEORANG pegawai bank pada Khamis memberitahu Mahkamah Tinggi,Kuala Lumpur bahawa hampir RM2.94 juta dipindahkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan lima transaksi antara 2011 hingga 2013 termasuk dana daripada Putera Faisal Turkey Al-Saud.

Pengurus Bahagian Unit SWIFT di Ambank (M) Berhad, Wedani Senen, 48, berkata, kesemua transaksi itu melibatkan akaun bekas Perdana Menteri itu, berakhir dengan nombor 694.

Saksi pendakwaan ke-29 itu berkata, wang berjumlah RM88.05 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib bernombor 694 oleh Putera Faisal melalui dua transaksi pada 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011.

Saksi itu juga mengesahkan bahawa pada 30 Oktober 2012 dan 19 November 2012, sebanyak RM22,012,447.17 dan RM110,062,447.17 dipindahkan daripada Blackstone Asia Real Estate Partners (syarikat milik sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low iaitu Eric Tan) ke dalam akaun Najib.

Mahkamah juga diberitahu bahawa RM88.05 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib daripada Tanore Finance Corp pada 22 Mac 2013.

Beliau berkata, demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada prosiding sebelah pagi, pakar undang-undang bagi Polisi Perniagaan di Unit Polisi Perniagaan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) Mohamed Fairudz Mohd Hanif, 38, mengesahkan bahawa dua syarikat iaitu Good Star Limited dan PetroSaudi International Limited (PSI) yang menerima dana sebanyak RM8.06 bilion daripada 1MDB di antara 2009 dan 2011, masing-masing telah dibubarkan pada 2014 dan 2015.

Good Star Limited yang dimiliki oleh Jho Low dibubarkan pada 2 Mei 2014, manakala PSI yang dimiliki warga Arab, Tarek Obaid dibubarkan pada 8 April 2015.

Mohamed Fairudz berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada Seychelles Financial Services Authority (Seychelles FSA), selepas LFSA menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan maklumat dari empat buah negara pesisir bagi kes 1MDB. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, Najib, wang, 1MDB, luar negara, akaun, bank