Jual bahan lucah di laman sosial, lelaki mengaku tidak bersalah


Hafizzul Anas didakwa dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter melalui akaun @lelakilelakise1 telah secara sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor atas pertuduhan menjual gambar lucah di aplikasi media sosial tiga tahun lepas.

Mohammad Hafizzul Anas Kamaruzaman, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Hafizzul Anas didakwa dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Twitter melalui akaun @lelakilelakise1 telah secara sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Bagi hantaran yang telah dilihat pada 17 Mei 2019, kira-kira pukul 10.50 pagi di Tingkat 8, Menara MCMC 1, Cyberjaya, OKS yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala OKS tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram