Rumah Bonda tidak kemuka rayuan selepas ditutup — Rina Harun


  • Primer
  • Sabtu, 11 Jun 2022

Rina berkata, KPWKM tidak menerima sebarang rayuan untuk mendaftar Rumah Bonda. — Bernama

PERTUBUHAN Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur ditutup kerana premis itu tidak berdaftar dengan pihak berkuasa, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Rina berkata, KPWKM tidak menerima sebarang rayuan pendaftaran daripada persatuan itu walaupun selepas tindakan diambil terhadap premis tersebut.

"Rumah Bonda ditutup kerana ia tidak pernah didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan pihak berkuasa tempatan, yang merupakan tiga agensi teknikal kerajaan.

"Ini adalah terma dan syarat yang ditetapkan oleh kementerian kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika ingin mengendalikan pusat kebajikan," katanya selepas melawat Rumah Kanak Kanak-kanak Mini Ulu Tiram di Johor.

Rina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang memohon perintah mahkamah untuk membuka semula rumah perlindungan itu selepas ia terpaksa dibiarkan kosong hampir setahun.

"Itu adalah haknya (untuk memfailkan perintah mahkamah) dan kita akan mengikuti proses undang-undang (tindakan mahkamah).

"Kita telah memberi peringatan kepada Rumah Bonda sebelum ini, namun selepas pusat jagaan itu ditutup, mereka masih tidak tampil mendaftarkan premis.

"Tiada sebarang permohonan diterima sehingga hari ini," tambahnya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa Siti Bainun memfailkan saman terhadap JKM dan memohon agar rumah perlindunggannya dibuka semula.

Siti Bainun menamakan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (JKMWPKL) sebagai defendan tunggal.

Saman pemula itu difailkan melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law Chambers pada Selasa.

Siti Bainun, 30, kini sedang dibicarakan atas dua pertuduhan mengabaikan dan mendera seorang gadis Sindrom Down berusia 13 tahun bernama Bella, sehingga mangsa mengalami kecederaan dan trauma emosi.

Perbicaraan itu menarik perhatian seluruh negara, termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang melantik peguam pemerhati. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram