ADUN Kota Damansara mahu berjumpa 'Datuk Seri'


  • Massa
  • Rabu, 08 Jun 2022

Terdapat juga dakwaan bahawa pekerja Datuk Seri memberi amaran kepada pengawal keselamatan dan penduduk lain di kawasan kejiranan.

ADUN Kota Damansara, Shatiri Mansor memberitahu penduduk Tropicana Indah di Petaling Jaya, Selangor bahawa beliau mahu bertemu dengan 'Datuk Seri' yang melanggar undang-undang majlis dan tidak mengendahkan notis majlis untuk menangani masalah antara pihak berkenaan.

Pada 20 Mei lalu, StarMetro melaporkan Datuk Seri yang tinggal di kawasan kejiranan mewah itu telah melanggar peraturan majlis bandar raya dan tidak mengendahkan tiga notis arahan berhenti kerja yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 8, 10 dan 11 Mei.

Mengenai perkara ini, Shatiri berkata, beliau mahu berjumpa dengan Datuk Seri yang terlibat dalam isu ini secara bersemuka

"Biar pihak majlis uruskan perkara itu mengikut prosedur operasi standard dan garis panduan mereka," katanya sambil menambah persatuan penduduk PJU3/12 dan pengurusan Tropicana Indah mahu beliau bercakap dengan Datuk Seri.

"Kita perlu mencari penyelesaian secara baik. Biar saya juga mendengar apa yang Datuk Seri ini katakan. Bagi penduduk Tropicana, kebimbangan terbesar mereka adalah mengenai aliran lalu lintas dan keselamatan yang disebabkan oleh kerja haram itu," kata Shatiri.

Antara kerja-kerja pengubahsuaian yang dijalankan termasuk tempat letak kereta yang dibuat berdekatan dengan jalan utama yang mengganggu aliran trafik, tangki air besar diletakkan di atas longkang yang menceroboh tanah awam serta penghawa dingin dan pemampat yang dipasang di kawasan umum.

Penduduk menggesa tindakan konkrit oleh MBPJ.

“Tarikh akhir 14 hari sudah tamat dan kami ingin tahu apa yang akan dilakukan oleh MBPJ sekarang.

"Tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang, ia semudah itu. Tiada siapa yang boleh melarikan diri jika terdapat pelanggaran undang-undang yang jelas," kata seorang penduduk yang tidak mahu dikenali.

MBPJ masih belum memberi maklum balas kepada StarMetro mengenai tindakan seterusnya.

Dilaporkan, anggota penguat kuasa MBPJ juga telah melawat tapak tersebut sebanyak tiga kali.

Terdapat juga dakwaan bahawa pekerja Datuk Seri memberi amaran kepada pengawal keselamatan dan penduduk lain di kawasan kejiranan.

Datuk Bandar Petaling Jaya dalam laporan sebelum ini berkata, pesalah itu boleh didenda RM25,000. Bagaimanapun, majlis itu mempunyai beberapa prosedur yang perlu diikuti sebelum langkah drastik diambil. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram