
MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sedang menaik taraf lampu jalan kepada lampu LED.
Antara kelebihan lampu LED ialah ia menjimatkan tenaga, mempunyai jangka hayat panjang dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam satu kenyataan, MBPJ berkata, jumlah lampu jalan di bawah jadual penyelenggaraannya sehingga 2021 ialah sebanyak 16,867 unit.
Setakat ini, 9,953 unit lampu telah digantikan dengan lampu LED.
MBPJ menyasarkan untuk menaik taraf 1,760 unit lampu jalan kepada LED menjelang akhir tahun ini.
"Ini bermakna baki lampu jalan yang belum dinaik taraf pada awal 2023 ialah 5,154, bersamaan dengan 31 peratus lampu.
"MBPJ menjangkakan untuk memiliki 100 peratus lampu jalan LED dalam tempoh kurang tiga tahun, mengikut peruntukan yang diterima pihak majlis, Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan Program Bandar Selamat,” kata kenyataan itu.
Jabatan Kejuruteraan MBPJ juga akan menumpukan kepada penggantian lampu kepada jenis LED dan menjalankan kerja pembaikan kecil, mengikut keperluan tapak untuk meningkatkan pencahayaannya.
Kerja-kerja menaik taraf LED di sepanjang Lorong Utara Kecil berhampiran Kompleks Sukan Astaka dijangka siap pada 31 Mei ini.
Pada masa sama, kerja menaik taraf lampu LED juga sedang dijalankan di Taman Tasik Komuniti Kelana Jaya. Projek itu juga dijangka siap pada penghujung bulan ini.
Kawasan lain yang akan dinaik taraf kepada lampu LED termasuk Jalan 17/21, Jalan 5/46 dan Jalan Cempaka; Persiaran Meranti, Persiaran Margosa, Persiaran Industri, Jalan PJU 7/1, Jalan PJU 7/7 dan Jalan PJU 7/15; Jalan PJS1/15, Jalan Sri Manja, Jalan PJS 1/35, Jalan PJS 1/50 dan Jalan PJS 1/52; Jalan PJU 1A/29, Jalan PJU 1A/29A, Jalan PJU 1A/29B dan Jalan PJU 1A/29C. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram