JUALAN ayam segar di sekitar Kuantan, Pahang berkurangan menyebabkan bahan mentah itu habis dijual dalam tempoh dua jam pada Sabtu.
Tinjauan di pasar basah utama Pasar Besar Kuantan, Pasar Beserah dan Pasar Balok di Kuantan, mendapati kebanyakan kedai menjual ayam segar sudah kehabisan stok sebelum jam 10 pagi.
Peniaga ayam, Ali Akbar Othman, 50, berkata, kekurangan bekalan bahan mentah itu dikatakan berpunca daripada penternak yang tidak menghantar bekalan ayam kepada pembekal dan pemborong.
“Kami dimaklumkan ayam dari reban penternak tiada dan banyak kilang memproses ayam segar ditutup disebabkan bekalan tiada.
“Melihat bekalan ayam semakin kritikal, kami amat yakin dalam tempoh sehari dua lagi bahan mentah ini terputus.
“Macam hari ini, kami hanya berniaga hampir dua jam saja sebab ayam tidak banyak. Tapi pada waktu sebegini pelanggan semakin ramai datang untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui Sinar Ahad di Pasar Balok di Kuantan.
Ali juga sudah tidak mengambil tempahan daripada pelanggan seperti sebelum ini kerana bimbang tidak mampu memenuhinya.
“Kalau ada rezeki mereka boleh membeli dalam kuantiti banyak, kalau tidak mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong,” ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Haslizawati Zakaria, 40, berkata, kekurangan bekalan menyebabkan ada yang tidak dapat berniaga seperti biasa.
Menurutnya, masalah bekalan ayam kali ini adalah antara yang paling kritikal terpaksa dilalui oleh peniaga ayam. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram