Penghantar makanan di Johor Bharu mengaku bersalah hantar gambar, video lucah guna Instagram


Tertuduh menghantar gambar serta video lucah menggunakan aplikasi Instagram.

SEORANG penghantar makanan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bharu, Johor atas dua pertuduhan membuat dan menghantar gambar serta video lucah menggunakan aplikasi Instagram, dua tahun lepas.

Muhammad Khair Ma'ani, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 19 Jun 2022 untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Instagram dengan nama mkdaniel secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah di Johor Bharu, Johor, kira-kira 8.50 pagi, 25 Jan 2020.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram