SEORANG lelaki maut apabila treler yang dipandunya terbabas serta merempuh pembahagi jalan manakala anggota polis trafik yang mengiringi treler berkenaan cedera dalam kemalangan di selekoh Jalan Duta di Kuala Lumpur pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Kuala Lumpur Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, treler tersebut membawa muatan dokumen keselamatan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) datang dari arah pusat bandar menghala ke Plaza Tol, Jalan Duta.
"Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, treler yang dipandu mangsa berumur 47 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.
"Akibat daripada itu, treler berkenaan kemudiannya merempuh tembok batu pembahagi jalan lalu terbalik," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
"Anggota polis yang cedera semasa menjalani tugas mengiring treler tersebut turut dibawa ke hospital sama bagi menerima rawatan lanjut," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram