Penerbangan AirAsia alami gangguan kerana pesawat terhad


  • Primer
  • Rabu, 11 Mei 2022

AirAsia perlu memikirkan quantum sesuai untuk penumpang yang terjejas akibat kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan.

JUMLAH pesawat yang terhad dikenal pasti antara empat punca utama menyumbang kepada kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan AirAsia membabitkan pelbagai destinasi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, AirAsia kini beroperasi hanya menggunakan 40 pesawat berbanding 95 pesawat sebelum pendemik Covid-19 melanda.

"Berlaku penyusutan 57.9 peratus fleet sedia ada kerana disebabkan kekurangan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) di rantau ini," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.

Menurutnya, AirAsia turut menyenaraikan syarikat penerbangan itu berdepan dengan kekangan operasi dan kawal selia dalam maklum balas kepada KPDNHEP berhubung isu kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan.

"Sesetengah negara masih memerlukan keputusan ujian RT-PCR sebelum penerbangan menyebabkan kelewatan selain peningkatan mendadak jumlah penumpang susulan musim perayaan dan pembukaan sempadan negara," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh beberapa minggu lalu, sekurang-kurangnya tiga hingga lima pesawat Air Asia mengalami isu teknikal dalam operasi penerbangan seluruh dunia yang memerlukan lebih masa untuk membuat pemeriksaan dan memperbetulkan isu teknikal.

Alexander berkata, AirAsia turut berdepan dengan isu 'bird strikes' pada enjin pesawat ketika beroperasi di Lapangan Terbang Langkawi dan Ipoh selain panahan kilat terhadap pesawat.

"Operasi AirAsia terjejas berikutan keadaan cuaca di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur, Sandakan dan Kota Kinabalu," katanya.

Ujarnya, syarikat penerbangan itu telah mengambil langkah penyelesaian untuk mengurangkan gangguan operasi termasuk melaksanakan penerbangan menyelamat bagi penumpang yang terkandas.

Tegas Alexander, Air Asia perlu memikirkan quantum sesuai untuk penumpang yang terjejas akibat kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan.

"Jika Rapid Rail boleh beri kupon perjalanan sehala kepada penumpang terjejas ekoran insiden 10 Mei 2022, saya percaya AirAsia juga perlu memikiran quantum yang sesuai untuk penumpang mereka," katanya.

Sehubungan itu, pengguna yang terkesan dengan isu tersebut disaran segera membuat aduan secara rasmi bagi memperoleh gambaran sebenar kepuasan pelanggan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kebajikan pengguna tidak lagi terjejas menjelang beberapa cuti umum yang akan datang.

"Paling hampir ketika ini ialah Hari Wesak dan Hari Gawai.

"KPDNHEP akan terus menjaga hak pengguna dalam isu ini, manakala selebihnya membabitkan operasi akan diselia mengikut bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram