Pelanggan mengamuk kena 'kencing', dakwa fon Honor X9 barang 'second hand'


  • Tular
  • Isnin, 09 Mei 2022

Tangkap layar rakaman tular kejadian lelaki mengamuk di sebuah kedai Senheng gara-gara telefon bimbit yang dibeli didakwa barangan terpakai. — Facebook

SEORANG lelaki naik angin setelah mendapati telefon bimbit yang dibelinya di sebuah kedai elektrik dan elektronik, Senheng bukan telefon baharu sebaliknya didakwa barang terpakai.

Dia dilaporkan bertambah sakit hati selepas perkhidmatan pelanggan kedai tersebut enggan melayan tuntutan untuk menukar telefon baharu dan memintanya berurusan dengan syarikat pembekal telefon berkenaan, Honor Malaysia.

Akibat seolah-olah ditendang seperti bola untuk berurusan dengan kedua-dua belah pihak, lelaki terbabit akhirnya hilang sabar dan mengamuk di kedai Senheng itu, namun tidak dapat dipastikan lokasinya.

Kejadian itu dipercayai dirakam sendiri oleh lelaki itu, sebelum video berkenaan tular di media sosial.

Menerusi rakaman awal video itu, lelaki terbabit dilihat masih bersabar pada mulanya ketika membuat aduan tentang telefon bimbit yang rosak selepas hanya dibeli tidak sampai tempoh 24 jam di kedai Senheng berkenaan.

Rakaman tular kejadian lelaki mengamuk di sebuah kedai Senheng gara-gara telefon bimbit yang dibeli didakwa barangan terpakai. — Facebook

Jurujual yang berurusan dengannya bagaimanapun tidak dapat menukar telefon bimbit itu dengan yang baharu kerana mendakwa waranti sudah berkuat kuasa sebaik pelanggan memasukkan kad sim.

"Saya beli telefon ini tak sampai 24 jam tapi sudah kena pergi pusat servis Honor. Telefon bimbit ini pun bukan murah, tapi saya dah banyak habiskan masa ke sana ke sini.

"Saya pun sudah tinggalkan mesej di Facebook Honor Malaysia, mereka hubungi saya semula selepas itu tapi mereka minta saya kembali ke sini (kedai) tempat saya buat pembelian, tapi apabila saya datang kamu kata tak boleh (tukar)," katanya dalam video itu.

Selepas tidak berpuas hati dengan penjelasan jurujual itu, lelaki tersebut mula naik angin dan meninggikan suara kepada seorang lelaki lain dipercayai penyelia kedai Senheng itu.

Dia kemudian meluru keluar dari kedai dan mula merakamkan aduan tentang pembelian telefon bimbit yang didakwa barangan terpakai gara-gara terdapat kesan gam pada badan gajet tersebut.

Lelaki itu kemudian bertindak menghempas telefon itu beberapa kali ke atas lantai sebagai tanda tidak puas hati terhadap layanan khidmat pelanggan kedai berkenaan.

Kakitangan kedai hanya berdiri dan mendiamkan diri di tempat masing-masing ketika lelaki itu sedang mengamuk. Tiada seorang pun daripada mereka yang dilihat cuba mententeramkan lelaki itu.

Video berkenaan dimuat naik di Facebook Tube Original dan mendapat sejumlah 10,000 tontonan sejak dimuat naik pada Isnin.

Sementara itu, kejadian dipercayai berlaku di Senheng IOI Puchong berdasarkan tangkap layar hantaran status Facebook dalam bahasa Cina yang dimuat naik oleh individu bernama Ricky Teh di pautan video tersebut.

Turut disertakan adalah model telefon bimbit itu iaitu Honor X9 yang berharga RM1,099 hingga RM1,299 mengikut spesifikasi.

Majoriti sedang menunggu kenyataan rasmi daripada Senheng dan Honor Malaysia berhubung dakwaan mangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram