Kereta terbakar dalam kemalangan lima kenderaan di Johor Bahru


  • 112
  • Ahad, 08 Mei 2022

Keadaan kereta yang terbakar dalam kemalangan pada awal pagi Ahad.

SEBUAH kereta terbakar dalam kemalangan lima kenderaan berhampiran sebuah bank di Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Mohd Suhaimi Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.55 pagi Ahad.

Tambahnya, pihaknya mengerahkan 11 anggota dan empat jentera dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Harimau Tarung, Taman Abad di Johor Bahru.

"Sebaik tiba, kami mendapati sebuah kereta terbakar pada kadar 40 peratus. Kereta itu sebelum ini terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kereta lain," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, api telah dipadamkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.

"Empat orang cedera, termasuk dua dari kereta yang terbakar dan dua dari kereta lain yang terlibat dalam kemalangan itu.

"Sementara itu, empat lagi yang berada dalam tiga kereta lain tidak cedera,” katanya sambil menambah mangsa yang cedera berusia antara 26 dan 41 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram