Kes bunuh Jalan Lama Bukit Putus: Abang syak adik dikurung, dibiar kelaparan sebelum nyawa diragut


  • Massa
  • Khamis, 28 Apr 2022

Jenazah seorang wanita yang menjadi mangsa bunuh di Seremban selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tandang pada Khamis. — Majoriti

ABANG kepada seorang wanita yang mati dibunuh di Seremban, Negeri Sembilan pada 20 Mac lalu mengesyaki adiknya telah dikurung dan tidak diberi makan sebelum dibunuh.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, 38, berkata, dia dimaklumkan oleh polis bahawa mangsa berkemungkinan dibunuh di rumah sewa sebelum mayat wanita itu dibuang di kawasan gaung, Jalan Lama Bukit Putus, Seremban-Kuala Pilah.

Lan yang berasal dari Sibu, Sarawak dan tinggal di Shah Alam, Selangor sejak tiga tahun lalu mendakwa, seorang wanita yang menjadi mangsa dera oleh suspek sama kes pembunuhan adiknya mendedahkan dia turut menjadi saksi kes berkenaan.

"Wanita itu beritahu dia mengenali adik saya dan nampak dia mati depan matanya. Saya percaya polis sedang menyiasat kes ini secara menyeluruh jadi saya tak mahu buat kenyataan yang akan ganggu siasatan," dakwanya.

Lan berkata demikian kepada Majoriti pada majlis pengebumian mangsa yang dikendalikan Pusat Kesihatan Daerah Petaling di Tanah Perkuburan Bukit Tandang, Petaling Jaya pada Khamis.

Pertemuan antara Majoriti dan keluarga mangsa diatur oleh Persatuan Transformasi Dayak (Trada) yang diwakili pembantu setiausahanya, Kathleen. Pengebumian arwah dikenali sebagai Meriammah Abdullah Basam itu diuruskan oleh Pertubuhan Sentuhan Setia Kasih.

photo1651132638

Kathleen (kanan) bercakap sesuatu dengan ahli keluarga mangsa. — Majoriti

Sebelum ini, media melaporkan polis Negeri Sembilan membongkar satu demi satu kes melibatkan tiga suspek bersaudara yang ditahan reman berhubung kes penemuan mayat dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus.

Polis turut menyiasat kes penderaan seorang wanita berusia 35 tahun dan seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan melibatkan suspek sama.

Sementara itu, Lan berkata, sebaik mendapat tahu berita kematian adiknya itu pada 22 Mac lalu, dia bergegas dari Shah Alam ke Seremban untuk membuat pengecaman mayat berdasarkan gambar-gambar yang disediakan oleh pihak polis.

"Waktu itu, pengecaman mayat tidak boleh dibuat sebab dah reput memandangkan sudah lima hari meninggal, cuma saya ditunjukkan gambar-gambar kejadian. Melalui gambar tersebut, saya kenal mayat wanita itu sebagai adik saya walapun wajahnya sudah hancur.

"Daripada bentuk mata, gigi, jari dan kukunya, saya sangat pastu itu adik saya. Antara kami 10 beradik, saya paling rapat dengan arwah sejak kecil lagi, jadi mana mungkin saya tak kenal dia," tuturnya.

photo1651132536 (1)

Ahli keluarga mangsa ketika upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Bukit Tandang pada Khamis. — Majoriti

Ditanya bila kali terakhir dia berhubung dengan adiknya itu, Lan berkata, mereka ada berbual menerusi chat WhatsApp sekitar bulan Mac 2020.

"Dia (arwah adik) selalu beritahu dia sibuk dengan kerja dan liputan internet di kawasan rumahnya kurang baik, jadi kami jarang berhubung selepas itu," katanya.

Ditanya juga adakah dia mengetahui pekerjaan adiknya, Lan memberitahu, dia tidak begitu pasti tetapi adiknya mula mencari pekerjaan di Semenanjung pada awal tahun 2019.

"Arwah adik sudah berpisah dengan suami dan meninggalkan dua anak," katanya yang berasa terkilan dengan nasib yang menimpa adiknya yang berumur 29 tahun itu.

Pada 25 Mac lalu, media melaporkan, wanita yang ditemukan di dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah dipercayai ditinggalkan di lokasi terbabit bagi menyorokkan kematiannya.

Mayat mangsa yang positif Covid-19 itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan mangsa digambarkan mempunyai ketinggian 1.4 meter, bertubuh agak kecil, berseluar sukan dan baju kemeja-T berwarna hitam selain tidak memakai barang kemas dan berkuku pendek serta tidak diwarnakan.

Pada 13 April lepas, dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

Tertuduh, seorang peniaga, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya berusia 18 tahun hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama pada 3 Mac 2022 kira-kira kurang 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban telah menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5 tahun.

Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama.

Bagi pertuduhan itu juga tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Selain itu, di Mahkamah Sesyen Seremban pula, Khalid Redza didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulitnya melecur yang dilakukan antara 1 Disember 2021 hingga 24 Mac 2022.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 melakukan kesalahan pengabaian Sufiy Hasrul Izwan, 20 bulan di lokasi sama pada 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram