Gelanggang bola keranjang di USJ20 licin, bahayakan pengguna


  • Massa
  • Khamis, 28 Apr 2022

Keadaan gelanggang bola keranjang di USJ20 yang licin dan daif membahayakan pengguna.

PENDUDUK kesal dengan keadaan gelanggang bola keranjang di sebuah taman di Jalan Damai, USJ 20, Subang Jaya, Selangor yang disifatkan daif.

Mereka menggesa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk memperbaiki semula gelanggang itu.

Pengasas Kelab Bola Keranjang USJ20, Bryan Chieng berkata, ramai orang membandingkan gelanggang bola keranjang dengan gelanggang ais kerana permukaannya yang licin.

“Pemain sering tergelincir dan ini boleh menyebabkan kecederaan serius,” katanya.

Tambahnya, gelanggang bola keranjang itu telah dibina semula pada 2016 tetapi konkrit licin digunakan berbanding permukaan asfalt pracampuran.

“Saya telah menyalurkan aduan penduduk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan MBSJ. Tetapi alasan yang diberikan mereka bahawa pihak MBSJ tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membetulkan gelanggang berkenaan.

“Dahulu, apabila gelanggang rosak, MBSJ menampal lubang dengan simen tetapi ini mengakibatkan permukaan tidak rata,” kata Chieng.

Sementara itu, seorang penduduk Bradley Char, 30, yang bermain di gelanggang itu sejak 10 tahun lalu berkata, dia pernah terseliuh beberapa kali kerana permukaannya yang licin.

“Banyak kali, saya tergelincir selepas melompat untuk mendapatkan bola. Gelanggang ini perlu diberi permukaan baharu untuk manfaat pengguna yang terdiri daripada remaja hingga warga emas," katanya.

Sementara itu, Billy Aik, 30, berkata, keadaan berbatu di tepi gelanggang itu juga membahayakan keselamatan pengguna.

“Gelanggang itu betul-betul di sebelah cerun dan ketulan besar daripadanya telah jatuh berhampiran gelanggang.

"Pemain boleh jatuh di atas batu," katanya, sambil menambah bahawa pihak berkuasa harus membersihkan serpihan dan meratakan cerun.

Billy juga berpendapat lampu yang diletakkan di fasiliti itu berada pada sudut yang salah sekali gus menyebabkan pemain berasa silau. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram