Gelandangan diarah pindahkan 'peneman setia' dari terminal bas di George Town


  • Massa
  • Selasa, 26 Apr 2022

Abdullah diarahkan supaya memindahkan kucing tersebut dalam masa seminggu.

DUA ekor kucing di dalam sangkar di terminal bas di Komtar di George Town, Puau Pinang, menjadi peneman setia Abdullah Ismail berusia 63 tahun sejak dua tahun lalu.

Abdullah, yang kehilangan tempat tinggal, pada mulanya mengambil kucing dari jalanan ketika mereka masih anak kucing dan kini sudah dewasa.

Tetapi tempoh semakin terhad untuk dia mencari rumah baharu untuk mereka.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah meminta Abdullah memindahkan kucing-kucing itu dalam tempoh seminggu.

Ini berikutan laporan daripada penumpang mengenai kucing dalam sangkar itu diletakkan secara kekal di bangku simen terminal.

Malangnya, tanpa pekerjaan, rumah atau wang, Abdullah tidak mempunyai tempat untuk dituju.

“Selepas kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di Ipoh, saya berpindah ke sini dan berteduh di sebelah Jalan Ria, dekat Komtar.

“Di situlah saya menemui kedua-dua anak kucing dan menyimpannya di dalam kotak kadbod.

“Bergantung kepada sumbangan dan makanan yang disumbangkan oleh orang ramai yang baik hati, saya berjaya menternak kedua-dua kucing dan akhirnya berpindah ke terminal bas di bawah Komtar dan mendapatkan sangkar untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada Selasa (26 April 2022).

Beberapa pegawai dari Jabatan Veterinar MBPP bertemu dengan Abdullah untuk memahami nasibnya.

Tetapi apa yang mereka boleh lakukan ialah memberinya tempoh tangguh seminggu untuk mengeluarkan haiwan itu dari terminal tersebut.

“Kita tidak boleh merampas haiwan kesayangannya dan mengarahkannya memindahkannya segera kerana Abdullah sendiri tiada rumah.

“Bagaimanapun, memandangkan ini adalah tempat awam dan haiwan itu bukan milik di sini, kami meminta Abdullah mencari tempat perlindungan untuk kucing-kucing itu.

“Mudah-mudahan seseorang akan tampil dan membantu Abdullah,” kata seorang pegawai yang enggan dinamakan.

Sementara itu, beberapa penumpang tidak berpuas hati apabila menemui sangkar dengan dua ekor kucing dan berpuluh-puluh beg ditinggalkan di kawasan tempat duduk terminal.

“Saya terkejut melihat kucing-kucing itu dikurung di dalam sangkar dan diletakkan di atas bangku sepanjang siang dan malam.

"Mereka berada di sini sejak lebih setahun lalu bersama bagasi yang tertinggal, ia menyusahkan dan mengganggu,"

"Saya harap kerajaan boleh lakukan sesuatu, ini berlaku betul-betul di bawah pejabat mereka," kata seorang penumpang biasa yang hanya mahu dinamakan sebagai Jane. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram