Disyaki dibantu seorang lelaki, polis buru wanita curi gelang emas di Kuala Pilah


  • 112
  • Sabtu, 09 Apr 2022

WANITA itu disyaki terlibat mencuri barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 di Kuala Pilah.

SEORANG wanita berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM10,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan visual muka suspek tular di Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan, Amran Mohd Ghani berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 8.18 malam daripada jurujual kedai berkenaan.

"Difahamkan suspek yang berbadan gempal dan mempunyai kulit sawo matang berusia lingkungan usia 30 tahun telah melarikan seutas tangan emas berat 36.76 gram.

"Berdasarkan rakaman CCTV, suspek telah dibantu seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX warna merah tanpa nombor pendaftaran untuk melarikan diri," katanya pada Sabtu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang memburu suspek.

Sehubungan itu katanya, masyarakat yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di talian 06-4842999. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram