
PENGGUBALAN rang undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu dilaksanakan dengan teliti supaya ia dapat diguna pakai untuk tempoh yang lama dan tidak mudah untuk dipinda.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berhubung perancangan yang telah dirangka oleh Kerajaan dalam melaksanakan RUU tersebut.
Katanya lagi, undang-undang yang akan digubal ini merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar.
" Sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, Undang-undang Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa secara prospektif dan bukan retrospektif, di mana ia mula berkuat kuasa selepas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperolehi.
"Peruntukan ini juga mengambil kira beberapa pengecualian sebagai contoh jika sesuatu parti yang disertai oleh seseorang Wakil Rakyat dibubarkan mereka tidak akan dianggap sebagai melompat Parti," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, undang-undang itu akan melibatkan wakil rakyat sahaja dan bukan Senator kerana wakil rakyat telah menerima mandat daripada rakyat sebagai wakil bagi kawasan mereka dan mandat tersebut perlu dilaksanakan.
Katanya lagi, dengan penguatkuasaan undang-undang tersebut, tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula untuk memastikan mandat dikembalikan kepada rakyat sekiranya berlaku tindakan melompat parti oleh ahli-ahli Parlimen.
"Draf pentadbiran RUU Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Anti Lompat Parti ini mempunyai 3 perkara utama iaitu, ahli Parlimen keluar dari parti, ahli Parlimen yang dipecat daripada parti dan ahli Parlimen Bebas menyertai mana-mana parti," ujarya yang turut menjawab soalan daripada Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram