KERAJAAN Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan untuk membuat keputusan, sama ada cadangan untuk mengeksport daun ketum diluluskan atau sebaliknya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, cadangan yang dibuatnya pada 16 Mac lalu, supaya kerajaan Persekutuan membenarkan Kedah mengeksport daun ketum untuk tujuan perubatan ke luar negara, khususnya Thailand itu, baharu di peringkat cadangan dan bukan diluluskan olehnya.
"(Apa) yang saya cadangkan sebelum ini, bukan saya lulus...dak...itu baru di peringkat cadangan sahaja, dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan sediakan kertas cadangan untuk dihantar kepada kerajaan Persekutuan.
"Kuasa untuk tentukan sama cadangan itu boleh atau tidak, hanya boleh diputuskan oleh kerajaan Persekutuan, bukan kerajaan negeri. Tetapi, ini merupakan satu solusi yang kita cadangkan supaya aktiviti penyeludupan daun ketum tidak lagi berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, kertas cadangan yang akan dihantar kepada kerajaan Persekutuan itu, adalah untuk mengusulkan kaedah pelaksanaan eksport daun ketum ke luar negara.
"Ketum ini bukan baharu ditanam semalam, ia sudah ada di tempat kita sejak sekian lama lagi. Banyak penyeludupan ketum berlaku sebab permintaan tinggi dari negara luar, sehingga menyebabkan agensi-agensi penguatkuasaan negara banyak memberi fokus kepada aktiviti penyeludupan daun ketum ini,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media selepas sesi penggulungan itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga akan mengambil kira cadangan dan pendapat dari semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri, agensi penguatkuasa, pekebun dan mereka yang menanam ketum, dalam penyediaan kertas cadangan berkenaan.
"Tidak salah beri cadangan. Kalau cadangan itu tidak dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan, kita akur dan akan hadapi situasi penyeludupan ini seperti sekarang, dan kalau ada perkara yang hendak digubal, kita boleh tunggu sehingga satu keputusan diberi.
"Tetapi, memang ada kebaikan eksport daun ketum ini daripada ia dibiarkan diseludup dan disalah guna. Sebenarnya, daun ketum itu tidak salah, yang salah apabila orang lain salah guna dengan memproses menjadikan bahan terlarang,” katanya.
Tambahnya, sekiranya cadangan berkenaan diluluskan nanti, akan ada peraturan ketat yang perlu dikuatkuasakan, supaya tidak berlaku ketirisan dalam proses mengeksport daun ketum.
Persidangan DUN Kedah kali ini yang berlangsung selama empat hari mulai Ahad, ditangguhkan pada Rabu sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram