JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mencatat sejarah tersendiri apabila melantik Datuk Hakimah Mohd Yusoff sebagai Ketua Pengarah wanita yang pertama berkuatkuasa 21 Mac.
Menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, pemilihan Hakimah, yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, adalah berdasarkan perkhidmatannya selama 30 tahun khususnya di Jakim.
"Pelantikan ini menjadi sejarah kepada Jakim apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita sekali gus meningkatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohd Zuki, pelantikan Hakimah diharapkan dapat memacu Jakim ke arah memperkasa peranannya sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di peringkat global.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) pada 1990 dan Ijazah Sarjana dari Universiti Putra Malaysia pada 2001, Hakimah memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim pada 1992. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram