
SEORANG bekas majistret didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta rasuah dan menerima suapan di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang pada Jumaat.
Mohamad Amin Shahul Hamid, 41, dijatuhi hukuman penjara berjumlah 58 tahun dan denda sebanyak RM1.05 juta.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan Mohamad Amin Shahul Hamid, 41, menjalani hukuman penjara tambahan 72 bulan, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kesnya.
Pada penghakimannya, Ahmad Zamzani berkata, pembelaan tertuduh yang diberikan secara bersumpah hanya berbentuk pemikiran semula dan penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap semua pertuduhan.
Bagaimanapun, Ahmad Zamzani membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak, bermaksud tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.
Tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo (SP15) di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Oktober 2019.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk hanya mengenakan hukuman denda dan bukan penjara terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mahu hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran perlu diberikan kerana kes itu melalui perbicaraan penuh selain tertuduh membuat persediaan untuk melakukan jenayah.
Selain itu, sikap tertuduh yang tidak menggunakan orang tengah, sebaliknya berjumpa sendiri SP15 untuk mengutip wang menunjukkan dirinya tidak mempunyai perasaan 'segan' selain tamak kerana melihat peluang untuk memeras ugut mangsa, selepas mengetahui SP15 dituduh buat kali kedua.
"Tertuduh sanggup menelefon SP15 dan menjual nama Pengarah Pendakwaan Pahang dan mengugut SP15 akan dipenjarakan jika tidak membayar suapan.
"Tertuduh boleh diibaratkan sebagai ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Tertuduh memalukan sistem kehakiman dan penjawat awam," katanya.
Sementara itu, peguam S. Meheraj yang hadir mewakili peguam tertuduh RSN Rayer, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman minimum atas alasan tertuduh memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM selain tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan menghidap asma.
"Tertuduh juga digantung kerja dari 2019 dan kini menerima separuh gaji. Bagi menampung kehidupan, dia membantu bapa saudaranya mengusahakan bendang di Sungai Petani, Kedah," katanya.
Ahmad Zamzani turut membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, kerana ingin merayu ke Mahkamah Tinggi.
Bagi tujuan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dinaikkan menjadi RM50,000 selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dilanjutkan sehingga selesai rayuan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram