
AKTIVITI sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah akan dibenarkan mulai sesi akademik 2022/2023 yang akan bermula Isnin ini, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata, kebenaran itu diberikan hanya bagi aktiviti dalam kawasan sekolah dan garis panduan serta aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 berhubung kebenaran itu akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.
"Sudah pasti ini berita gembira buat anak-anak kita yang selama ini hanya berada dalam bilik darjah sahaja.
"Kita ingin memberi peluang kepada murid dan guru untuk membiasakan diri dengan fasa transisi hidup bersama virus Covid-19 sebelum beralih ke fasa endemik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan (KPM) pada Khamis.
Pada 10 Jun lepas, KPM menetapkan bahawa sebarang aktiviti sukan, kokurikulum dan perhimpunan di sekolah tidak dibenarkan susulan pandemik Covid-19.— Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram