Hotel di Pulau Pinang tidak lagi jadi pusat kuarantin, sedia terima pengunjung


  • Primer
  • Jumaat, 11 Mac 2022

HOTEL di Pulau Pinang kembali memberikan perkhidmatan yang terbaik buat pelancong di negeri itu. — The Star

PUSAT penginapan terutamanya hotel di Pulau Pinang tidak lagi digunakan sebagai pusat kuarantin memandangkan industri hospitaliti bakal kembali selepas terkesan ekoran pandemik Covid-19, kata exco negeri itu.

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, beberapa hotel yang sebelum ini digunakan sebagai pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah kini kembali beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata, ini kerana kuarantin kendiri di rumah kini dibenarkan untuk pesakit Covid-19, dan pusat berisiko rendah yang dikendalikan kerajaan boleh mengambil pesakit.

“Terdapat satu pusat kuarantin kendalian kerajaan di Pulau Pinang iaitu Pusat Kecemerlangan Mara di Jawi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat (11 Mac 2022).

Soon Hin menambah, data pada Khamis (10 Mac 2022) menunjukkan kadar penggunaan di Pusat Kecemerlangan Mara ialah 34 peratus.

“Angka juga menunjukkan kadar penghunian wad bagi pesakit yang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang adalah 70 peratus, manakala Hospital Kepala Batas ialah 69 peratus dan Hospital Sungai Bakap, 67 peratus,” katanya.

Soon Hin juga berkata, industri perhotelan kembali mendapat momentum melalui aktiviti perniagaan dan pelancongan domestik selepas tempoh tidak dapat beroperasi semasa pelbagai perintah kawalan pergerakan.

“Hotel di Pulau Pinang kembali memberikan perkhidmatan yang terbaik, iaitu menyediakan hospitaliti yang berkualiti kepada pelanggan,” katanya.

Mengenai kesiapsiagaan industri, Soon Hin berkata, pihaknya memantau pematuhan ketat terhadap protokol kesihatan dan langkah keselamatan semasa lawatannya ke hotel di negeri itu baru-baru ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram