Pengurusan banjir Malaysia terbaik, Shahidan pertahan kenyataan sembilan tahun lepas


  • Primer
  • Rabu, 09 Mac 2022

SHAHIDAN turut memberitahu pada 2013 kerajaan ketika itu memperkenalkan Nadma. — Sinar Harian

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mempertahankan kenyataannya yang dibuat sembilan tahun lalu bahawa pengurusan banjir di Malaysia adalah yang terbaik di dunia.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat pada 2013 itu adalah berkaitan pendekatan dibuat kerajaan pada zaman tersebut.

“Saya kata berpindah sebelum banjir. Itu sebab, contoh macam yang berlaku di Kelantan, kita pindahkan sebelum banjir.

“Bila banjir berlaku, tiada bot digunakan kerana mereka berpindah guna kereta. Kemudian, mereka duduk sehari, dua hari di pusat pemindahan sementara dan selepas itu banjir pun datang.

“Selepas banjir pergi, mereka boleh balik ke rumah. Perpindahan banjir melibatkan bot akan menyebabkan kerosakan dan kemalangan jiwa,” katanya ketika menggulung perbahasan usul berkenaan banjir kilat yang melanda Lembah Klang di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Rabu.

Shahidan berkata demikian bagi menjawab celahan Lim Lip Eng (PH- Kepong) yang bertanya adakah beliau masih menganggap pengurusan banjir di Malaysia adalah terbaik selepas banjir kilat melanda Kuala Lumpur khususnya Lembah Klang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada zaman itu juga, kerajaan memperkenalkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Maka sistem pengurusan banjir telah berjalan lancar dan baik. Tengok pada masa itu, beberapa pendekatan yang kita buat, kita menjadi yang terbaik dalam menguruskan banjir.

“Tengok pengurusan banjir di negara lain, ia berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram