Ketua Menteri kini bergelar Premier Sarawak


  • Primer
  • Selasa, 01 Mac 2022

TAN Sri Abang Johari Tun Openg kini akan menggunakan gelaran Premier Sarawak. — ZULAZHAR SHEBLEE/The Star

PINDAAN Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak yang meluluskan penggunaan Premier bagi menggantikan Ketua Menteri telah diwartakan dan berkuat kuasa pada Selasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dalam satu kenyataan berkata, mulai Selasa, Ketua Menteri akan dipanggil Premier Sarawak dalam Bahasa Malaysia dan Premier of Sarawak dalam bahasa Inggeris.

"Pindaan ini berkuat kuasa mulai hari ini, 1 Mac 2022. Pejabat Ketua Menteri akan dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Office of the Premier of Sarawak’ manakala dalam Bahasa Malaysia sebagai 'Pejabat Premier Sarawak’," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri Sarawak akan dirujuk sebagai Deputy Premier atau Timbalan Premier dalam Bahasa Malaysia manakala Menteri Muda kini akan dirujuk sebagai Timbalan Menteri.

Pindaan untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier itu tdiluluskan oleh DUN dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan mengundi menyokong manakala enam menentang.

Menurut Warta Kerajaan Negeri Sarawak yang disiarkan di laman web Jabatan Peguam Negara negeri, Yang di-Pertua Negeri telah menamakan 1 Mac sebagai tarikh pindaan tersebut berkuat kuasa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa membentangkan RUU itu berkata pindaan di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak itu adalah mengikut pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dikuatkuasakan pada 11 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram