1MDB: Usul Anwar dirunding dalam Kamar Khas Parlimen


  • Primer
  • Selasa, 01 Mac 2022

ANWAR berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Selasa. — Bernama

USUL Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pembongkaran amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan institusi Malaysia khasnya Bank Negara (BNM) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dirundingkan dalam Kamar Khas pada Selasa.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, usul itu akan dirundingkan di Kamar Khas pada jam 2.30 petang dan dipengerusikan oleh Azhar sendiri.

Azhar berkata, beliau berpuas hati dengan usul itu kerana ia adalah perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai seperti syarat yang dinyatakan dalam Peraturan 18(1) dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Saya telilti usul itu. Untuk perkara tertentu itu ada dua bahagian...pertama, keterangan bekas (Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara) Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai rasuah, salah guna kuasa, penyelewangan institusi Malaysia, adalah agak terlalu am dan tidak spesifik.

"Usul ini seterusnya menyatakan khasnya BNM berentetan daripada skandal 1MDB dan pembongkaran BNM...saya dapati ia perkara yang tertentu. Saya juga setuju ia perlu disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai. Saya benarkan usul dirunding dalam Kamar Khas pukul 2.30 petang ini,” katanya sebelum sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar bangimanapun bangun mempersoalkan keputusan itu selain bertegas mahu usulnya tidak dibawa ke Kamar Khas sebaliknya dibahaskan di dalam Dewan Rakyat, kerana perkara itu melibatkan implikasi nasional dan antarabangsa terhadap imej serta maruah negara.

Azhar kemudiannya menjelaskan, usul itu akan dirunding bukan untuk dibahas mengikut Peraturan 18.1 dan 18.2 dan kedudukan Kamar Khas adalah sama dengan Majlis Mesyuarat (persidangan) iaitu dibuat secara terbuka selain tidak mahu mengganggu Aturan Urusan Mesyuarat pada Selasa.

"Kita bawa (usul) ke Kamar Khas agar tidak mengganggu Aturan Urusan Mesyuarat, kerana hari ini kita ada (perbahasan) Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja... pencadang diberi masa 90 mint, penyokong sejam dan Ketua Pembangkang juga 90 minit, kita punyai time constrained,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar yang membacakan usul itu berkata, usul itu perlu disegerakan kerana pembongkaran kes terkini terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan berikutan kegagalan agensi penguatkuasa negara khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan di Facebooknya memaklumkan, sesi perbahasan Ketua Pembangkang yang dijadualkan 4.30 petang ini ditunda ke 11.30 pagi Rabu, bagi memberi laluan untuk sidang Kamar Khas merundingkan usul beliau. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram