KIRA-KIRA 3,000 anggota dan pegawai polis akan ditugaskan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu depan bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan menambah anggota ketika tempoh berkempen mengikut keperluan.
"Semua pihak diminta mematuhi peraturan dan mengikuti nasihat serta arahan yang diberikan pasukan polis yang bertugas supaya ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Ketua Polis Johor bersama Warga Felda Tenggaroh di Tanjung Leman di Mersing, Johor pada Ahad.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN Johor pada 12 Mac 2022 manakala 8 Mac 2022 ditetapkan untuk pengundian awal.
Dalam perkembangan lain, Kamarul Zaman berkata, 58 individu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ditahan dalam Op Tapis yang dijalankan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Mersing di sekitar Felda Tenggaroh di Mersing.
"Dalam operasi selama dua hari berakhir semalam, kebanyakan mereka terdiri daripada generasi kedua dan ketiga FELDA, disyaki mengambil dadah jenis syabu atau 'Ice' dan hasil siasatan kita mendapati terdapat penagih tegar dan juga penagih baharu,” katanya.
Menurutnya polis juga mengesan kegiatan penagih dadah yang mencuri kelapa sawit berikutan kenaikan harga komoditi itu bagi membeli dadah. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram