Dakwa pengurus restoran makanan segera biadap terhadap OKU


  • Tular
  • Jumaat, 18 Feb 2022

TANGKAP layar perbualan di antara seorang petugas restoran makanan segera dengan pengurusnya yang tular di media sosial.

SEORANG pengguna media sosial baru-baru ini meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan seorang pengurus sebuah restoran makanan segera di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan yang didakwa menghamburkan kata-kata kesat serta terhadap adiknya yang juga seorang Orang Kelainan Upaya (OKU).

Pengguna Facebook terbabit, Muhammad Hanis mendakwa, pengurusan restoran terbabit turut mengamalkan diskriminasi terhadap pekerja OKU termasuk adiknya yang merupakan seorang pesakit Dyslexia.

"Adik aku kena datang kerja hari Ahad lepas, jam 9 pagi tapi disebabkan nama adik aku tak ada dalam jadual jadi dia pun tak pergi kerja.

"Tiba-tiba pukul 10 pagi Ahad tu salah seorang manager premis tu tanya adik aku dalam group WhatsApp kenapa adik aku tak masuk-masuk kerja lagi sebab kalau ikutkan adik aku perlu masuk pukul 9 pagi, lepas tu ayah aku tolong WhatsApp dan beritahu yang nama adik aku tu tak ada dalam jadual sebab tu tak datang kerja.

"Kemudian mereka beritahu nama adik aku tu ada dalam jadual tapi instead of tulis nama, mereka letak nombor ID kerja adik aku, come on lah, adik aku as an OKU untuk ingat?" soalnya.

Namun, apa yang menimbulkan kemarahan Hanis adalah cara adiknya dilayan oleh seorang pengurus yang dipanggil sebagai "Tan Sri".

"Ayah aku reply yang nama adik aku Aniq Ashraf, bukan nombor.. then tak semena-mena ada seorang manager tu reply, aku gelarkan dia ni Tan Sri, 'kalau you manusia bukan nombor, pastikan lobby aku tak bersepah, penyapu dekat luar.. manusia dia dengar cakap, kalau nombor dia tak dengar cakap, dia bodoh sikit."

"Kau rasa kau sebagai abang, tak panas atau berbulu bila orang panggil adik kau as OKU bodoh? Dah la tak ada sesiapa dalam group tu back up adik aku atau cuba tegur dan betulkan anak buah," katanya.

273550930_10166029060380023_8367515420789337330_n

KENYATAAN rasmi McDonald's Malaysia berhubung insiden itu.

Sementara itu, Mcdonald's Malaysia dalam satu kenyataan berkata, siasatan dalaman telah dilakukan dan mereka mengakui bahawa perilaku pengurus terbabit tidak boleh diterima serta menyalahi polisi syarikat.

"McDonald's Malaysia sudah menghubungi pihak keluarga kru yang terkesan bagi memohon maaf atas perkara tersebut dan menyelesaikan isu terbabit.

"Kru terbabit merupakan petugas kami yang telah bersama McDonald's selama empat tahun.

"Sebagai sebuah syarikat yang menekan konsep "people-oriented", kami berusaha untuk memastikan persekitaran di tempat kerja dan mempromosikan budaya yang membenarkan petugas kami berkembang dan membina hubungan harmoni sebagai ahli McFamily," katanya dalam kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram