SYARIKAT yang memilih untuk mengabaikan pertimbangan kemampanan/alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan mereka tidak mampu mengekalkan pencapaian baik, kerana sukar mendapat pembiayaan ekuiti dan hutang untuk membiayai projek mereka.
Menurut Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, syarikat tersebut perlu membayar premium insurans yang lebih tinggi untuk menaja jamin sebahagian daripada risiko mereka dan akan berdepan kesukaran untuk mengambil pekerja bagi memacu perniagaan.
"Mereka tidak dapat menjual produk atau menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global memandangkan pelanggan lebih bijak menilai dan hanya membeli produk-produk yang mampan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Sidang Kemuncak Korporat ESG, bertemakan ‘Memacu Kelestarian dan Transformasi Mampan’ pada Khamis.
Sidang kemuncak itu dianjurkan bersama oleh Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) dan Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik.
Abdul Wahid yang juga Pengerusi Majlis Penasihat ECKL berkata, sebagai penyokong kukuh kemampanan, Bursa Malaysia berusaha menawarkan persekitaran yang menggalakkan amalan kemampanan dalam kalangan peserta pasarannya.
"Kami melaksanakannya melalui bimbingan yang berterusan, sokongan dan libat urus di pasaran, di samping peranan kami sebagai pengawal selia barisan hadapan dan pengendali pasaran," katanya.
Beliau berkata, Bursa Malaysia juga telah memulakan kerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air, dan Kementerian Kewangan untuk mewujudkan pasaran karbon sukarela.
"Ini merupakan projek pembangunan negara yang signifikan untuk membantu Malaysia memenuhi hasrat iklimnya, di samping mewujudkan ekosistem yang telus, berasaskan peraturan dan memenuhi keperluan peserta pasaran yang disasarkan," katanya.
Abdul Wahid menegaskan, ESG dan isu-isu kemampanan bukanlah perkara baharu dalam kalangan korporat Malaysia.
Pada 2014, Bursa Malaysia memperkenalkan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia bagi mengiktiraf syarikat senaraian awam (PLC) yang telah mengambil langkah menambah baik amalan dan pendedahan ESG masing-masing.
Selepas itu, jumlah konstituen meningkat tiga kali ganda, daripada 24 pada 2014 kepada 80 susulan semakan terakhir pada Disember 2021.
Pada 5 Julai 2021, Bursa Malaysia melancarkan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah, yang merangkumi 54 konstituen patuh syariah dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, menurut metodologi penapisan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
"Selain memperkenalkan indeks berkaitan ESG, Bursa Malaysia turut memainkan peranan perintis untuk mendorong PLC mengguna pakai amalan dan pendedahan ESG yang baik.
"Sebagai contoh, sejak penubuhan Rangka Kerja Laporan Kemampanan pada 2015, semua PLC di Malaysia kini mengemukakan Laporan dan Kenyataan Kemampanan pada setiap tahun, memperincikan struktur tadbir urus yang dilaksanakan serta pendekatan untuk menguruskan hal-hal kemampanan material mereka, merangkumi pelbagai tema ekonomi, alam sekitar dan sosial,” katanya.
Abdul Wahid berkata, krisis iklim yang sedang berlaku merupakan satu peringatan penting yang perlu diberi perhatian dan melahirkan rasa bangga apabila Malaysia komited untuk menjadi negara pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih seawal 2050.
"Malah, pelaburan yang berterusan dalam pengangkutan awam dan insentif cukai untuk menggalakkan Kenderaan Elektrik (seperti diumumkan pada Bajet 2022) adalah petanda baik ke arah sasaran sifar bersih,” katanya.
Menurutnya, komitmen Malaysia untuk menjadi negara pelepasan GHG sifar bersih telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 pada 27 September 2021.
"Ini bererti, kita kini merupakan sebahagian daripada komuniti global bagi negara-negara yang menyumbang 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global yang telah komited kepada pelepasan sifar bersih menjelang pertengahan abad (2050-2060)," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram