
BANGUNAN Parlimen di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur merupakan tempat ikonik untuk pemimpin Malaysia berdebat dan meluluskan undang-undang.
Cuma tahukah anda, mesyuarat Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang pertama diadakan pada 1959 di sebuah dewan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang kini dikenali sebagai Pusat Pelancongan dan Maklumat Malaysia (Matic).
Menurut maklumat di portal rasmi Parlimen Malaysia, mesyuarat pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu berlangsung pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman.
"Mesyuarat pertama Parlimen acara penting bagi negara kerana ia merupakan kali pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu bertemu dengan semua ahlinya.
"Ia dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad," jelas laman web itu.
Dewan mesyuarat yang dibina pada 1935 itu pada asalnya adalah kediaman Eu Tong Sen, seorang pelombong dan pemilik ladang yang kaya dan terkenal di Kuala Lumpur.
Ia telah diubah suai oleh pembina yang diupah khas untuk menukar bangunan itu menjadi dewan mesyuarat untuk Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kemudiannya mencetuskan idea untuk membina sebuah bangunan khusus untuk Parlimen.
Ia membawa kepada pembinaan bangunan Parlimen di Jalan Parlimen.
Pada 16 September 1963, mesyuarat pertama Parlimen Malaysia telah diadakan di bangunan Parlimen yang terletak berhampiran dengan Tasik Perdana, Kuala Lumpur. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram