Felda jawab isu guna buruh kanak-kanak di ladang


  • Bizz
  • Khamis, 17 Feb 2022

PEKERJA memuatkan tandan buah kelapa sawit ke dalam sebuah lori di sebuah ladang dekat Kapar, Selangor. —Agensi

KEKURANGAN tenaga kerja asing yang dialami kebanyakan pemain industri sawit di negara ini bukan halangan utama kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), untuk terus memacu pembangunan dan kelestarian sektor pertanian.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, meskipun memerlukan sebahagian tenaga kerja asing sebanyak 50 peratus, Felda telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan itu termasuk penggunaan mekanisasi, automasi serta pengambilan dan penyertaan pekerja tempatan.

Beliau berkata, sejak negara berdepan isu kekurangan tenaga buruh akibat Covid-19, Felda telah berusaha meningkatkan 30 peratus produktiviti dan mengurangkan 20 peratus kos operasi.

"Kita telah mengkonsolidasikan pengurusan ladang dengan mewujudkan Sistem Pengurusan Ladang Pintar bagi menguruskan ladang berskala besar dengan pembangunan yang bermula pada Januari 2021.

"Ia bertujuan meningkatkan sinergi pengurusan dan hasil kebun peneroka Felda dan mencapai kos operasi yang minimum dengan satu sistem, satu operasi dan satu pasukan," katanya pada sesi taklimat kepada media pada Khamis.

Menurutnya, sistem tersebut akan menggunakan teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) bagi merealisasikan pertanian persis, dengan data terkumpul seperti data imej udara dron diguna pakai untuk analisis pengiraan dirian pokok sawit, penentuan tahap kesihatan pokok dan pemantauan kawasan kosong.

Ia juga akan digunakan bagi merancang dan memantau perancangan pembelian input pertanian secara tepat, sekali gus mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti ladang.

Felda juga akan meluaskan penggunaan mekanisasi melalui anak syarikat Felda Plantation Management (FPMSB), selain menjalin kerjasama dengan FGV Holding Bhd dalam pelaksanaan dan penggunaan mekanisasi yang optimum.

Setakat ini, pemilikan Felda dalam FGV telah meningkat daripada 34 peratus kepada 82 peratus.

Sementara itu, Idris berkata Felda menggalakkan penyertaan warga tempatan melalui pelaksanaan Kontrak Borong Kecil (KBK), Briged Operasi Ladang (BOL) dan Field-GIG.

Melalui KBK, warga tempatan boleh menjadi usahawan/ kontraktor kerja-kerja operasi ladang dalam skala kecil dengan menjadi kontraktor, dan pada masa yang sama sebagai pekerja.

BOL pula menawarkan pelbagai elaun khas seperti elaun motosikal dan rumah bagi menarik minat warga Felda yang tinggal di tanah rancangan untuk menjadi pekerja ladang.

Field-GIG adalah sistem permohonan kerja secara dalam talian menggunakan aplikasi pintar yang fleksibel dan memberi kebebasan kepada pemohon untuk memilih jenis kerja, tempat dan masa mengikut kesesuaian masing-masing.

Mengenai penggunaan buruh kanak-kanak di ladang pertanian, Idris berkata, ia tidak menjadi isu kepada Felda kerana sudah menjadi kebiasaan untuk masyarakat setempat membawa anak-anak membantu kerja-kerja ringan di ladang, pada masa lapang.

"Kanak-kanak ini bukanlah digajikan sebagai pekerja, sebaliknya hanya membantu keluarga pada masa lapang seperti cuti sekolah dan tidak mengganggu masa pembelajaran mereka," katanya.

Selain itu, Felda juga telah berjaya mempersijilkan keseluruhan ladang sawitnya dengan pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO), sekali gus mempamerkan komitmen ke arah pengurusan perladangan yang lestari.

Sementara itu, pada taklimat berkenaan, Idris berkata, Felda turut berjaya mencapai beberapa peristiwa penting sepanjang 2020 hingga 2021.

Antara kejayaan itu adalah menyelesaikan penyata hutang peneroka pada September 2020, memansuhkan 80 peratus hutang peneroka, mengguna pakai mekanisasi dron untuk kerja-kerja meracun, menerima RM9.9 juta sumbangan peneroka bagi program Sedekah300 dan melancarkan Waqaf Felda.

Selain itu, Felda turut menerima 98,962 peneroka yang menandatangani Perjanjian Penghapusan Pinjaman sehingga November 2021 dan memperkenalkan program Neuro Linguistic (NLP) kepada 3,424 peneroka untuk mengubah minda dan pemikiran ke arah lebih positif dan berdaya maju. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram